|
Gema Zafana
Istana Budaya
26-29 Disember 2009
Fairul Zahid
Mengangkat Tarian Zapin Melayu ataupun Hanya Sekadar Hiburan?
Sekali lagi pentas Istana Budaya di hangatkan dengan persembahan Gema Zafana, sebuah persembahan hasil kerjasama kerajaan Negeri Johor yang diilhamkan oleh Yayasan Warisan Johor. Gema Zafana merupakan satu persembahan yang berlandaskan salah satu genre tarian melayu iaitu Tarian Zapin. Zafana yang membawa maksud “Zapin” atau “Main Zapin” ini, merupakan kedua kalinya di pentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 26 Disember hingga 29 Disember yang lalu. Idea persembahan seperti ini adalah satu usaha yang baik bagi menaikkan mutu dan taraf tarian tradisional di Malaysia.

tarian melayu: Tarian Zapin
Justeru itu kesimbungan persembahan Gema Zafana kali ini telah membuat beberapa perubahan dari segi persembahan dengan tujuan menarik perhatian penonton. Malangnya tidak semua perubahan kali ini berjaya. Kritikan utama adalah kerana nilai ‘originaliti’ didalam gerakan dan tarian zapin tidak dapat di perlihatkan di dalam babak pertama persembahan. Semestinya sesebuah tarian zapin itu ada ‘taksim’, ‘kopak’ dan ‘wainab’ yang tersendiri dan unik. Babak pertama persembahan itu hanya menampakkan perjalanan cerita yang kurang jelas dan di selang-selikan gerak tari. Kelemahan dalam babak itu di perlihatkan lagi seolah-olah mengangkat penyanyi yang sememangnya hebat seperti Ramli Sarip dan Azlina Aziz, dan bukannya gerak tari zapin itu dimana penari boleh dikatakan lebih kearah penari latar. Bentuk penyampaian cerita yang kurang jelas juga menyebabkan persembahan itu hambar. Elemen yang diselitkan dari segi muziknya pula mengelirukan di mana seawal persembahan itu bermula, penyajak diiringi oleh alunan rebab, yang tidak tergolong didalam alatan muzik dan budaya Zapin.

Walaupun yang demikian penari yang menjayakan persembahan pada malam itu telah memberikan persembahan yang memberangsangkan terutamanya artis budaya Yayasan Warisan Johor, SwaTari, dan Jabatan Kebudayaan Negeri Johor. Jelas kelihatan kumpulan-kumpulan ini dapat menguasai alunan gerak zapin dan menjiwai irama lagu zapin dengan mantap dan profesional. Ini adalah aspek persembahan gema Zafan yang paling kuat dan menarik. Perubahan selainnya dalam Gema Zafana adalah penyertaan kepelbagaian kaum seiringan dengan usaha kerajaan Malaysia untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini melalui persembahan tarian. Kehadiran kumpulan Dua Space Dance Theatre dan Astana Arts Creations membawa perlambangan ketibaan pelbagai kaum ini ke tanah Melayu dengan kebudayaan masing-masing dengan kebudayaan sendiri melalui tarian Cina dan tarian India Bharatanatyam. Konsep ‘multicultural’ ini sudahpun dipentaskan sejak tahun 60an lagi dan tidak lagi menarik. Mungkin koreografer-koreografer tempatan boleh memikirkan cara lain untuk melambangkan kesatuan kaum-kaum di Malaysia ini. Tambahan pula, kelemahan penari dari kumpulan Astana Arts Creations amat mencacatkan persembahan kerana penari-penari seolah-olah tidak cukup latihan dan banyak melakukan kesilapan. Teknik tarian bharatanatyam kumpulan ini tidak bagus dan cuba diselubungi oleh peragaan kostum dan kesimpulannya persembahan kumpulan ini boleh dikategorikan sebagai persembahan amatur. Kumpulan Dua Space Dance Theatre pula mempunyai penari yang berkaliber, dengan kelenturan badan, daya tenaga dan lompatan yang tinggi, menggunakan ruang dengan baik dan kordinasi yang cemerlang tetapi kebelakangan ini tarian dan pergerakkan kumpulan dapat diagak geraknya kerana sentiasa diundang oleh pihak Istana Budaya untuk membawa tarian Cina. Eloklah sekiranya kumpulan ini mencari variasi dalam koreografi dan ilham yang baru dalam tarian Cina, untuk memikat penonton yang sering melihat persembahan mereka.
Seharusnya mereka menujukkan kesatuan yang telah sedia ada di Malaysia kini. Jika di fikirkan perlu mereka ingin menyelitkan unsur multiculturalisme kenapa tidak semua bangsa menarikan tarian Zapin, itu lebih berkesan dari segi usaha untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Persembahan Gema Zafana ini ingin menaikan dan mengangkat Tarian Zapin Melayu Johor dimana babak kedua lebih menampakkan tujuan sebenar yang ingin di sampaikan. Namun begitu, keseronokan dan kemeriahan itu menjadi hambar apabila babak kedua itu terlalu panjang setelah babak pertama yang hampir satu jam setengah. Babak kedua yang bermula dengan menarik akhirnya banyak menggunakkan dari Zapin Tenglu, Zapin Putar Alam dan Zapin Pekajang. Keghairahan menonton semakin lama semakin menurun kerana terlalu banyak ulangan dan gerakan keluar masuk pentas solah-olah tidak mempunyai motif dan tujuan dan hanya sekadar gabungan dari pelbagai bentuk zapin. Keghairahan menonton babak kedua itu juga bertukar menjadi tanda tanya apabila penari utama Syed Mustapha menarikan bahagian ‘taksim’ tarian Zapin secara solo di atas pentas dengan menggunakan elemen improvisasi dan kontemporari. Transisi dari penari solo ke jalan cerita yang ingin di sampaikan agak samar kerana setiap kali Syed Mustapha menarikan tarian secara solo ianya seolah memberi ruang untuk penari menukar kostum dan hanya sekadar penghias di pentas bagi mengisi kekosongan sewaktu berlangsungnya persembahan itu.
Ternyata kematangan pengarah tarinya Onn Jaafar terpatah apabila persoalan demi persoalan bermain di fikiran penonton yang hadir pada malam itu terutamanya pada penghujung persembahan dimana penonton tertanya-tanya adakah ini finale ataupun masih ada lagi persembahan seterusnya. Persembahan finale tidak segagah yang di fikirkan, secara tuntasnya klimaks yang ingin disampaikan itu tidak menjadi.
Walau bagaimanapun persembahan Gema Zafana ini merupakan satu usaha yang bagus dari Kerajaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor. Berbekalkan “tak kan Melayu di telan zaman dan takkan adat di mamah usang” ini, menaikkan tarian-tarian tradisional. Ini merupakan satu inisiatif yang boleh di banggakan supaya tarian-tarian Melayu lama ini tidak akan hilang begitu sahaja pada masa yang akan datang. Keseluruhannya persembahan ini adalah satu persembahan yang bertenaga dan penampilan khas Dato’ Rahim Razali juga merealisasikan persembahan Gema Zafana pada kali ini. Tahniah diucapkan.
|